PETALING JAYA: Presiden Warisan Shafie Apdal yakin partinya akan meraih sokongan lebih besar pada PRN Sabah tahun ini, walaupun di kawasan majoriti Cina yang lazimnya didominasi oleh Pakatan Harapan (PH).
Shafie berkata, rakyat Sabah kini lebih matang dan tahu ciri-ciri yang mereka inginkan pada pemimpin.
“Saya yakin pengundi Cina matang dan mahukan pemimpin yang boleh mereka harapkan dan percaya. Bagi mereka, ia bukan semata-mata tentang siapa calonnya … (itu) tidak penting,” katanya, lapor The Borneo Post.
“Apa yang mereka mahukan ialah perubahan dari segi perniagaan, peluang pekerjaan dan barangan keperluan asas yang serba kekurangan ketika ini. Jadi saya lihat PRN akan datang ialah masa untuk rakyat memilih pemimpin dan kerajaan yang boleh mendorong Sabah ke arah yang tepat.”
Shafie yang juga bekas ketua menteri berkata, pihaknya mempunyai pelan dan hala tuju jelas yang akan dilaksanakan ‘sebaik sahaja mengambil alih kerajaan’.
Warisan berkata, pihaknya hanya akan bekerjasama dengan parti tempatan untuk PRN Sabah tahun ini, bukan gabungan nasional seperti PH, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
Warisan kekal kukuh di pantai timur Sabah, termasuk kawasan Parlimen Semporna yang diwakili Shafie sejak 1995. Sebaliknya, di kawasan-kawasan bandar, PH meraih sokongan padu.
PH dan Warisan merupakan sekutu dalam kerajaan persekutuan, tetapi di Sabah, Warisan pembangkang di DUN manakala PH menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor.
PH dan Warisan bekerjasama pada PRN 2020 tetapi tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah yang pada masa itu dianggotai Umno Sabah, Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku.