PETALING JAYA: Seorang tahanan warga Indonesia yang meloloskan diri dalam keadaan tangan bergari di Kompleks Mahkamah Alor Gajah, Melaka pada Isnin lalu berjaya ditangkap semula semalam ketika bersembunyi di sebuah kebun durian di Taman Melaka Pindah.
Lelaki berusia 38 tahun itu ditangkap pada jam 6.10 petang dalam keadaan tidak bergari oleh sepasukan anggota polis dari IPK Melaka, IPD Alor Gajah dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am Briged Tengah dan Jabatan Kastam Melaka, lapor Harian Metro.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Md Nazri Nawawi berkata, ketika serbuan dilakukan suspek bertindak melarikan diri hingga berlaku pergelutan sebelum berjaya ditangkap.
“Polis percaya suspek yang melarikan diri itu tidak mendapat bantuan daripada mana-mana individu,” katanya.
Md Nazri berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Gajah untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan.
Media pada Selasa melaporkan, suspek meloloskan diri dalam keadaan tangan bergari di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Gajah ketika diiringi pegawai Jabatan Kastam.
Lelaki itu dibawa ke mahkamah bagi sebutan semula kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ADB 1952.
Ketika dibawa masuk ke dalam kenderaan, suspek tiba-tiba menolak pegawai pengiring dan terus melarikan diri dengan memanjat pagar mahkamah ke arah kawasan semak berhampiran dengan tangan masih bergari.