PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) merampas 989 produk vape atau rokok elektronik bernilai RM34,158 termasuk produk vape berbentuk permainan serta makanan.
Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohtar Pungut, berkata menerusi Operasi Khas Vape Negeri Johor pada Rabu dan Khamis itu, sebanyak 11 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Seksyen 47 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852).
“Di Johor, penjualan vape di premis perniagaan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah dilarang di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian, sekali gus menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang melanggarnya.
“JKNJ menggesa pemilik premis dan pengusaha perniagaan agar tidak menjual vape di Johor terutamanya yang berbentuk permainan dan makanan,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi sedemikian selaras dengan penguatkuasaan Akta 852 bermula 1 Okt lepas.
“Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap larangan promosi, pengiklanan, dan pembungkusan serta pelabelan bahan merokok jenis pod pakai buang yang berbentuk permainan dan makanan,” katanya.
Menurut Mohtar sehingga kini, lebih daripada 6,097 premis telah diperiksa dan sejumlah 1,021 notis kesalahan telah dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun.
“JKNJ memandang serius kesan negatif akibat amalan merokok yang semakin berleluasa, termasuk promosi tidak beretika dengan menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya.